4. Pendamaian dan Kepentingan Pengorbanan Yesus

Mengapa Yesus mati?
Ada sebab di sebaliknya?
Mengapa ini penting?

Dalam membaca Alkitab, kita melihat betapa Tuhan sangat mengasihi umat manusia walaupun mereka derhaka terhadap-Nya. Tuhan tidak membiarkan dosa begitu saja, tetapi Dia menginginkan sebuah hubungan yang telah diperbaharui dengan manusia, dan ini hanya dapat dicapai melalui pendamaian.

Kembali kepada kisah dalam Kitab Kejadian, kita melihat bahawa selepas manusia berdosa, walaupun Tuhan murka terhadap dosa mereka, Dia masih menunjukkan kasih-Nya kepada mereka. Apabila Tuhan menciptakan manusia, Dia menjadikan mereka telanjang, kerana pada masa itu semuanya suci dan kudus. Tidak ada rasa malu, maka tidak perlu untuk manusia menutupi diri. Apabila manusia berdosa, rasa malu datang ke atas mereka dan mereka cuba menutupi ketelanjangan mereka. Tuhan menunjukkan kasih-Nya sebagai Bapa dengan membuat pakaian untuk menutup rasa malu mereka. Tuhan telah menyediakan sesuatu untuk menutupi dosa dan keaiban mereka.

Dari generasi ke generasi, umat manusia terus gagal mentaati Tuhan. Mereka tidak lagi hidup secara suci dan benar. Mereka mula membuat patung ukiran dan menyembah berhala, dan ini tersebar ke seluruh dunia. Kejahatan semakin meningkat, dengan manusia saling membunuh dan berperang antara satu sama lain . Hati Allah Bapa hancur melihat semua anak-anak-Nya disesatkan oleh dosa mereka sendiri dan oleh Sang Musuh. Setan mahu manusia menjadi sepertinya dan menderhaka kepada Tuhan. Dia mahu semua manusia menderhaka terhadap Tuhan dan dijauhkan daripada-Nya.

Namun sejak dari dosa yang pertama, Tuhan tidak berputus asa terhadap manusia, tetapi Dia menginginkan manusia bertaubat dari dosa-dosa mereka kerana Dia ingin memulihkan hubungan sempurna antara manusia dengan-Nya seperti sediakala. Adalah penting untuk difahami bahawa dosa tidak dapat diatasi dengan melakukan lebih banyak perbuatan baik. Manusia tidak dapat menebus dosanya sendiri dengan berusaha secara gigih ataupun dengan hidup secara baik. Kekudusan Tuhan menuntut kesempurnaan yang mutlak, dan kita semua gagal mencapai kesempurnaan tersebut.

Meskipun demikian, Tuhan masih menginginkan pendamaian dengan umat manusia melalui penebusan — iaitu membetulkan semua kesalahan kita – supaya kita boleh dikuduskan semula, berpaling daripada kejahatan, dan mempunyai hubungan yang sempurna dan indah dengan Tuhan seperti yang dikehendaki-Nya.

Jadi bagaimana dosa kita boleh dibetulkan?
Bagaimanakah pendamaian dapat diadakan jika tuntutannya adalah kesempurnaan?

Untuk memahami pendamaian dari perspektif Tuhan, kita perlu sedar bahawa nyawa selalu dikaitkan dengan korban darah. Habel, anak Adam dan Hawa, merupakan orang pertama yang mempersembahkan korban darah kepada Tuhan. Kemudian, Tuhan mengarahkan manusia untuk mengambil seekor anak domba yang tidak bercacat cela dan mengorbankannya; penumpahan darah anak domba tersebut secara simbolik akan menyucikan mereka, mengadakan pendamaian untuk dosa-dosa mereka dan memulihkan mereka kepada Tuhan. Namun, pendamaian ini hanya bersifat sementara, kerana ia perlu diulang setiap tahun dan manusia mempunyai kecenderungan untuk terjerumus ke dalam dosa dan terus tidak mencapai kesempurnaan.

Dosa dan kejahatan umat manusia telah merosakkan dunia, jadi Tuhan memilih ramai individu dari generasi ke generasi untuk menjadi teladan dan untuk memimpin orang-orang seturut dengan perintah-Nya supaya mereka boleh menjadi umat yang dikhususkan untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana cara untuk hidup secara benar. Tetapi manusia masih terus gagal. Namun selama ini Tuhan mempunyai sebuah rancangan. Ingat, manusia tidak boleh menebus dosanya sendiri kerana Tuhan menuntut kesempurnaan. Di seluruh Alkitab, terdapat banyak nubuat tentang seorang penyelamat yang akan datang untuk menyelamatkan manusia daripada dosa-dosa mereka  dan untuk memimpin umat Allah. Nubuat-nubuat tersebut digenapi dalam Yesus Kristus.

Terdapat banyak nubuat tentang kelahiran Yesus, peranan-Nya sebagai Raja dan penyelamat bagi umat manusia, serta kematian dan kebangkitan-Nya yang telah digenapi. Terdapat juga nubuat-nubuat tentang Yesus yang masih belum digenapi, seperti tentang kedatangan-Nya yang kedua ke bumi.

Hal yang unik tentang Yesus adalah Dia bukan berasal dari dunia ini kerana Dia dikandung daripada Roh Kudus Tuhan melalui seorang dara. Dia merupakan Allah sendiri yang turun dari takhta-Nya demi menjadi manusia; Yesus dikenali sebagai Anak Allah yang masuk ke dunia melalui kelahiran demi menjalani hidup dan mengalami segala yang dialami umat manusia, namun masih tetap kudus dan benar. Satu-satunya insan di dunia yang tidak pernah berdosa adalah Yesus Kristus.

Sifat-Nya yang tidak berdosa menjadikan Dia jauh berbeza daripada anak domba yang tidak bercacat cela. Allah mempersembahkan diri-Nya sendiri, Yesus Kristus, sebagai korban yang sempurna untuk anak-anak-Nya, umat manusia. Walaupun Dia mengaku bahawa Dia adalah Raja, Yesus berkata bahawa tujuan-Nya di dunia ini adalah untuk melayani dan menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang (Markus 10:45). Lebih menarik lagi, Yesus telah menubuatkan kematian dan kebangkitan-Nya. Tiada seorang pun di dunia ini yang dapat menyatakan dengan yakin bahawa dia akan mati dan selepas tiga hari dia akan hidup semula; ini hanya mungkin dilakukan oleh Allah yang maha kuasa. Tujuan akhir kebangkitan-Nya adalah untuk mengalahkan Setan dan mengatasi kematian itu sendiri. Itulah sebabnya pengorbanan Yesus bukan seperti korban anak domba yang tidak bercacat cela, tetapi merupakan korban yang dipersembahkan sekali untuk selama-lamanya yang telah mengalahkan kematian dan Setan. Yesus datang ke bumi untuk menanggung dosa manusia pada diri-Nya sendiri, menderita murka Allah yang sepatutnya diterima manusia melalui kematian-Nya di atas kayu salib, dan menumpahkan darah-Nya demi penebusan dosa kerana Allah begitu mengasihi anak-anak-Nya dan ingin memulihkan hubungan sempurna tersebut. Sebagaimana Allah pernah menutupi rasa malu manusia yang pertama untuk memulihkan kehormatan mereka, demikian juga Allah menyediakan penutup yang kekal melalui darah Yesus Kristus untuk menghapuskan selama-lamanya segala dosa dan keaiban semua orang yang percaya kepada-Nya

Yohanes 3:16–17
“Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.”

Renungkan: Semua orang telah terjerumus ke dalam dosa; tiada seorang pun yang tidak berdosa.

Tanya diri anda:
‑ Adakah saya mahu memiliki hubungan sempurna yang Tuhan inginkan antara saya dengan-Nya?
‑ Adakah saya mahu hidup secara benar di hadapan Dia yang telah menciptakan saya?

Jika anda menjawab “ya” kepada soalan-soalan ini, maka apa yang anda perlu lakukan adalah untuk meletakkan iman anda pada Yesus Kristus dan mengakui bahawa Dia telah mati untuk menebus dosa-dosa anda; Dia telah mengampuni anda; dan kini anda boleh berpaling daripada gaya hidup lama anda dan hidup sebagaimana Yesus telah ajarkan kepada murid-murid-Nya. Dengan itu, anda juga menjadi murid-Nya. Anda boleh bermula dengan membaca Injil Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes dalam Alkitab.

Ini hanya merupakan ringkasan mengapa Yesus datang ke bumi dan mati untuk menebus dosa manusia. Masih banyak lagi yang dapat diterokai dan dihuraikan tentang hal-hal yang dinyatakan di atas, dan semua ini akan dibincangkan kemudian.

Scroll to Top

Tapak web ini menggunakan kuki untuk memastikan anda mendapat pengalaman terbaik.