2. Menyelidiki Asal Usul Yesus dalam Agama Kristian dan Islam
Jika apa yang dikatakan oleh Alkitab dan al-Quran tentang Yesus berbeza, yang manakah yang benar?
Adakah Yesus benar-benar mati di atas kayu salib?
Dalam catatan blog terakhir, telah dinyatakan bahawa agama Kristian dan Islam kedua-duanya mendakwa bahawa ajaran mereka adalah satu-satunya kebenaran. Juga telah dinyatakan bahawa untuk menilai sesebuah agama, empat pertanyaan utama perlu diajukan untuk membantu meneliti tuntutan keeksklusifan agama-agama tersebut. Pertanyaan-pertanyaan yang diajukan adalah:
- Asal Usul – Bagaimanakah agama itu bermula?
- Makna – Apakah ertinya untuk hidup dalam agama itu?
- Moral – Apakah akhlak yang ditemukan dalam agama itu?
- Takdir – Apakah yang terjadi apabila anda meninggal dunia dalam agama tersebut?
Mari kita bincangkan pertanyaan pertama: Asal Usul. Ini melibatkan penelitian sejarah dan catatan-catatannya dengan menggunakan kaedah legal-sejarah. Kaedah ini bergantung kepada kesaksian lisan, kesaksian bertulis dan bukti fizikal. Semakin banyak bukti yang ada, semakin boleh dipercayai maklumat tersebut. Semakin dekat tarikh bukti kepada kejadian sebenar, semakin tinggi kredibiliti, kebolehpercayaan dan kemungkinan bahawa ianya adalah benar. Sebagai contoh:
Contoh 1: Yesus telah mati pada tahun 33 M, dan antara tahun 33-100 M, terdapat ribuan orang yang menyatakan bahawa Yesus mati di atas sebuah kayu salib. 700 ratus tahun kemudian, satu orang menyatakan bahawa dia tidak mati di atas kayu salib. Yang manakah yang lebih mungkin benar? Kesaksian ribuan orang pada masa yang lebih dekat dengan peristiwa kematian Yesus, atau kesaksian satu orang pada masa 700 tahun kemudian?
Kaedah ini tidak hanya unik kepada pengajian agama; ianya digunakan secara meluas dalam pelbagai disiplin. Sebagai contoh, ahli-ahli sejarah bergantung kepada kaedah ini untuk mengesahkan peristiwa-peristiwa. Jika bukti yang cukup didapati melalui metodologi sejarah ini, kemungkinan besar peristiwa itu benar-benar terjadi, dan ianya dianggap benar. Mahkamah-mahkamah hari ini juga menggunakan kaedah ini, di mana hakim-hakim akan menilai bukti-bukti untuk menentukan hujah mana yang lebih kuat sebelum membuat keputusan. Siasatan polis juga menggunakan kaedah yang sama untuk membuktikan liabiliti jenayah seseorang suspek. Untuk menilai kebolehpercayaan dan kredibiliti semua dokumen-dokumen bersejarah, kaedah ini mesti digunakan. Berikut adalah contoh yang lain:
Contoh 2: Andai kata anda ingin mencari tahu tentang datuk moyang anda yang telah meninggal dunia apabila ayah anda berumur tujuh tahun dan datuk anda berumur empat puluh tahun. Sebagai seorang remaja, anda bertanya kepada ayah dan datuk anda tentang makanan-makanan kegemarannya. Ayah anda, yang hanya mengenalnya apabila dia masih kecil, berkata, “Saya rasa dia suka makan ayam dan nasi.” Sementara itu, datuk anda, yang meluangkan masa 40 tahun bersama dengannya, berkata, “Dia paling suka makan ayam yang diperap dengan kicap manis dan bawang putih yang kemudiannya dipanggang dengan sempurna.” Walaupun kedua-duanya mengatakan bahawa dia suka makan ayam, gambaran terperinci yang diberikan oleh datuk anda lebih dapat dipercayai kerana dia mempunyai pengalaman langsung yang lebih ekstensif. Sekarang, bayangkan jika seorang kawan keluarga yang jauh. yang hanya bertemu dengan datuk moyang anda secara singkat, mendakwa bahawa dia tidak pernah melihat beliau memakan ayam dan menyimpulkan bahawa dia tidak suka makan ayam. Andaian ini, berdasarkan pendedahan yang terbatas, jelas kurang berkredibiliti jika dibandingkan dengan kesaksian terperinci pengalaman langsung datuk anda.
Demikian juga, untuk meneliti dasar sejarah agama Kristian, tumpuan perlu diberikan kepada Yesus Kristus. Seperti yang telah dibahas sebelum ini, catatan-catatan Islam tentang Yesus dihasilkan lebih daripada 700 tahun selepas kehidupannya, dan tidak berkredibiliti.
Jadi, bagaimanakah seseorang dapat menilai kebenaran dakwaan Kristian tentang Yesus?
Kaedah yang dibincangkan sebelum ini perlu diaplikasikan.
Adakah terdapat kesaksian-kesaksian lisan tentang Yesus?
Ada; banyak yang telah terdokumentasi dalam Perjanjian Baru, khususnya dalam Injil Matius, Markus, Lukas dan Yohanes, yang ditulis oleh pengikut-pengikut Yesus yang hidup bersama-sama dengan-Nya. Teks-teks yang terawal antara ini telah ditulis dalam jangka masa kira-kira dua puluh tahun selepas kehidupan Yesus.
Bagaimana pula dengan bukti fizikal?
Terdapat banyak manuskrip Perjanjian Baru yang wujud hari ini, yang ditempatkan di pelbagai muzium, universiti dan organisasi pemeliharaan. Terdapat kira-kira 5,800 salinan untuk Perjanjian Baru sahaja, dan ada antaranya yang berasal dari abad pertama dan abad kedua Masihi. Ini menjadikan mereka sangat boleh dipercayai. Catatan paling awal Perjanjian Baru ditulis sekitar tahun 50 M dan pentarikhan karbon telah meletakkan salinan terawalnya sekitar tahun 130 M. Sebagai perbandingan, Iliad, sebuah karya Yunani kuno karangan Homer yang sangat terkenal dan tidak dipersoalkan sesiapapun, ditulis sekitar tahun 900 SM. Salinan-salinan terawal yang masih wujud bertarikh sekitar 500 tahun kemudian, dan jumlah manuskrip yang ada sekitar 650 buah. Perbandingan ini menunjukkan bertapa tiada tandingannya kebolehpercayaan dan kredibiliti Alkitab sebagai sebuah dokumen bersejarah, dan ini mengesahkan kebolehpercayaan catatannya tentang Yesus.
Namun demikian, orang Islam mendakwa bahawa Alkitab telah diubah. Kenyataan ini adalah sebuah dakwaan yang sangat serius. Untuk mengesahkan ini, terdapat beberapa soalan yang perlu ditanya. Tanyalah diri anda sendiri:
- Bagaimanakah Alkitab diubah?
- Di manakah perubahan itu terjadi?
- Siapakah yang mememalsukan Alkitab?
- Bilakah ianya diubah?
- Apakah yang telah diubah?
- Di manakah yang asli?
Ramai orang Islam membuat dakwaan-dakwaan tanpa bukti yang kukuh, terutamanya apabila menjawab soalan-soalan ini. Adalah penting untuk diketahui bahawa umat Islam seringkali memandang Alkitab melalui kanta yang sama dengan cara mereka memandang al-Quran, tetapi perbandingan ini bermasalah. Al-Quran dianggap sebagai ‘wahyu ilahi’ yang diterima oleh nabi yang buta huruf, Nabi Muhammad, melalui malaikat, dan ini menegaskan bahawa dia dipilih Allah untuk menyampaikan wahyu ini. “Sebaliknya, Alkitab dianggap sebagai Firman Tuhan, tetapi cara pembentukkannya ketara berbeza.” Ianya terdiri daripada dokumen-dokumen sejarah yang boleh dipercayai, yang mengandungi kesaksian-kesaksian yang ditulis oleh saksi-saksi mata semasa mereka masih hidup.
Catatan-catatan ini mendokumentasikan kejadian-kejadian supernatural yang memenuhi nubuat-nubuat khusus dalam Perjanjian Lama dan juga Perjanjian Baru. Kredibilitinya disahkan melalui banyak kesaksian orang-orang yang menyaksikannya secara langsung dan bukanlah bergantung semata-mata pada kesaksian satu individu sahaja.
Tanyalah diri anda sendiri:
- Tidakkah anda berfikir bahawa Alkitab merupakan sumber yang jauh lebih dapat dipercayai dan berkredibiliti untuk mengetahui tentang Yesus Kristus berbanding dengan mana-mana sumber yang lain?
Berkenaan dengan pertanyaan dari catatan blog sebelum ini tentang persamaan antara cerita-cerita dalam Alkitab dan al-Quran, jawapannya berkaitan dengan konsep yang dibincangkan tadi. Pernyataan al-Quran bahawa semua nabi-nabi, kecuali Yesus Kristus, beragama Islam menimbulkan sebuah cabaran kerana nabi-nabi ini – seperti Musa, Abraham, Yohanes Pembaptis, Elia dan lain-lain – terdokumentasi di dalam Alkitab berabad-abad sebelum adanya al-Quran. Dengan menggunakan analisis sejarah, jelas terbukti bahawa para nabi ini meletakkan kepercayaan mereka pada Tuhan agama Kristian, iaitu Yahweh (YHWH), dan bukannya Tuhan agama Islam, iaitu Allah.
Tanyalah diri anda sendiri:
- Mengapakah tidak ada bukti agama Islam sebelum Nabi Muhammad?
- Mengapakah agama Islam tidak disebut dalam mana-mana sumber bukan Islam sebelum abad ketujuh?
Memandangkan kebolehpercayaan dan kredibiliti Alkitab yang tidak dapat dinafikan, pertimbangkanlah kitab Injil Lukas. Lukas menyatakan secara eksplisit niatnya untuk menyediakan catatan yang tepat melalui kajian teliti supaya seorang para murid Yesus dapat mempunyai kepastian tentang kebenaran. Salah satu kebenaran ini ialah Yesus mati di atas kayu salib dan dibangkitkan tiga hari kemudian. Ini merupakan asas kepada iman Kristian – tanpa kematian dan kebangkitan Yesus, tidak ada agama Kristian. Peristiwa-peristiwa ini bukan sekadar fakta-fakta sejarah, tetapi telah menggenapi nubuat-nubuat Perjanjian Lama.
Catatan blog yang berikutnya akan menyelidiki sebab mengapa Yesus mati di atas kayu salib dan apakah kepentingannya.